SEJARAH SEKOLAH

SMK Serting Hilir Kompleks merupakan sekolah gred A luar bandar yang terletak kira-kira 30KM dari pekan Bahau dan 100KM dari Bandar Seremban.  SMKSHK ditubuhkan pada 3 Disember 1995. Pada awal penubuhannya, kumpulan pertama yang hanya berjumlah 165 orang menumpang di SK Serting Hilir kompleks. Perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran dijalankan pada sesi petang dan digerakkan oleh 16 orang guru serta dibantu oleh 3 orang staf sokongan. Antara sekolah yang berperanan sebagai “freeder school” kepada SMKSHK ialah SK Serting Hilir Kompleks, SK Serting Hilir 2 (F), SK Pulapah, SK Sungai Sampo dan SK Tembangau.
SMKSHK berpindah ke bangunan baru pada 6 Jun 1997 dengan pelajar berdaftar seramai 326 orang dan 28 guru beserta 5 staf sokongan. Pada tahun 1998, kumpulan pertama pelajar tingkatan 3 SMKSHK telah menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Kumpulan pertama  pelajar SMKSHK menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2000.

SMKSHK mempunyai 4 blok bangunan 3 tingkat dan 1 blok bangunan 2 tingkat. Selain bilik darjah, sekolah ini dilengkapi dengan beberapa kemudahan asas seperti Pusat Sumber, Makmal Sains, Makmal Komputer, Makmal Bahasa, Bengkel Kemahiran Hidup, Bengkel Sains Pertanian, Bengkel PVMA, Galeri Kemanusiaan, Bilik Kaunseling, kantin, padang, kedai koperasi, bilik rawatan dan Bilik Gerak Minda.

Pada tahun 2006, sebuah surau telah dibina untuk keperluan rohani warga SMKSHK dan dinamakan sebagai surau Ar Raudhah, sedikit penambahan telah dilakukan kepada tempat meletakkan kenderaan beratap untuk keselesaan guru-guru.

Pada tahun 2009, SMKSHK telah mendapat sebuah dewan baru dan 1 blok bangunan dalam melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini. Dewan ini diberi nama Dewan Ujana Ilmu. Dewan ini digunakan untuk tempat peperiksaan dan pelbagai aktiviti sekolah dari semasa ke semasa.




Bermula Disember 2016 SMKSHK telah tercalon sebagai Sekolah Transformasi TS25 Kohort 2.0. Transformasi  sekolah merupakan program terkini  yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) adalah hasil kerjasama warga sekolah dan kecemerlangan SMKSHK dalam semua bidang.